
I will continue my post about Insurance Hayat..Now the CHARACTERISTICS of Insurance Hayat PRODUCT..
KONTRAK INSURANS HAYAT ADALAH KONTRAK JANGKA PANJANG DENGAN BAYARAN PREMIUM PARAS
Kontrak insurans hayat adalah kontrak jangka panjang yang biasanya mengenakan premium paras. Penggunaan premium paras ini menimbulkan implikasi lain dalam pengendalian kelas perniagaan insurans ini. Ciri-ciri jangka panjang kontrak ini menghendaki insurer mengambil langkah berhati-hati terhadap beberapa faktor yang boleh mempengaruhi pengiraan kadar premium. Antara faktor itu ialah:-
- kemortalan
- perbelanjaan
- kadar pulangan pelaburan
- cukai
Insurer dikehendaki menyimpan rizab (contohnya aset) yang mencukupi mengikut jumlah kontrak insurans yang berkuatkuasa. Keperluan undang-undang yang menetapkan jenis rizab statutori minimum dan margin kesolvenan mestilah dipatuhi. Insurer biasanya menjalankan urusniaga dalam persekitaran perdagangan yang penuh persaingan. Ini pada dasarnya akan menghadkan amaun premium yang dikenakan dan peratusan pasaran yang boleh dikuasai bagi setiap kelas perniagaan.
KEDUA-DUA PIHAK MESTI MEMATUHI PRINSIP PENUH PERCAYA MUTLAK
Prinsip Uberrima fides iaitu penuh percaya mutlak hendaklah dipatuhi oleh keduadua pihak , insurer dan insured. Walau bagaimanapun, bagi insurans hayat, insured tidak dipertanggungjawabkan untuk melaporkan sebarang perubahan setelah kontrak berkuatkuasa, kecuali dalam hal pekerjaan dan pertukaran alamat.
KONTRAK ALEATORI
Dalam kontrak aleatori, satu pihak menyediakan sesuatu yang bernilai kepada pihak satu lagi sebagai tukaran untuk janji pihak tersebut melaksanakan tindakan tertentu jika berlaku peristiwa yang ditetapkan. Dalam insurans hayat (terutama polisi tanpa keuntungan) dan beberapa kontrak insurans am seperti polisi kemalangan diri, amaun tuntutan ditetapkan pada permulaam kontrak. Ini menjadikan kontrak sebegini dianggap sebagai kontrak aleatori. Keadaan ini adalah berbeza jika dibandingkan dengan insurans am yang bertujuan untuk meletakkan semula insured pada keadaan kewangan yang sama seperti sebelum risiko yang diinsuranskan berlaku (iaitu insured diberi indemniti), tertakluk kepada had maksimum amaun insurans.
KEPENTINGAN BOLEH INSURANS
Kewujudan kepentingan boleh insurans adalah syarat utama sebelum kontrak insurans hayat boleh dikuatkuasakan. Kepentingan boleh insurans wujud apabila pembeli polisi insurans hayat pasti akan menanggung kerugian kewangan sekiranya berlaku kematian ke atas orang yang diberi perlindungan insurans hayat berkenaan. Untuk menjelaskan perkara yang dinyatakan di atas, berikut adalah beberapa situasi dimana kepentingan boleh insurans wujud:-
• setiap orang dikatakan mempunyai kepentingan tanpa had keatas;
- nyawanya,
- nyawa pasangan hidupnya.
• Ibu/bapa mempunyai kepentingan boleh insurans keatas hayat anaknya yang dibawah umur majoriti;
• Seseorang yang memberi hutang mempunyai kepentingan boleh insurans keatas hayat orang yang diberi hutang, tetapi hanya setakat amaun hutang yang diberi;
• Majikan mempunyai kepentingan boleh insurans keatas hayat kakitangan utamanya seperti pengarah urusan atau pengurus;
• Rakan kongsi niaga mempunyai kepentingan boleh insurans keatas hayat lain-lain rakan kongsi, terutama jika terdapat perjanjian untuk membeli/ mengambil alih bahagian rakan yang meninggal dunia. Adalah penting untuk menyedari bahawa bagi polisi insurans hayat, kepentingan boleh insurans hanya perlu wujud pada permulaan kontrak iaitu apabila polisi tersebut mula berkuatkuasa. Ketika membuat tuntutan, ketiadaan kepentingan tersebut tidak membatalkan kontrak.
Seksyen 152 Akta Insurans 1996 menerangkan dengan lebih lanjut tentang kepentingan boleh insurans. Seksyen ini secara jelas membatalkan polisi yang dikuatkuasakan tanpa kepentingan yang dimaksudkan.
PEMBAYARAN TUNTUTAN MENAMATKAN KONTRAK INSURANS HAYAT
Dalam insurans hayat (kecuali polisi insurans kesihatan) penyelesaian tuntutan akan menamatkan kontrak insurans. Sebaliknya, dalam kontrak insurans am, kontrak tidak akan ditamatkan kerana pembayaran tuntutan, malah tuntutan selanjutnya boleh dibuat dalam tempoh kuatkuasa kontrak;
walaupun jumlah amaun diinsuranskan untuk mana-mana bahagian perlindungan yang disediakan oleh kontrak telah pun dibayar, bahagian perlindungan berkenaan sahaja yang akan ditamatkan.
KONTRAK INSURANS HAYAT TIDAK BOLEH DIBATALKAN SECARA SEBELAH PIHAK (UNILATERALLY) OLEH INSURER
Insurer dan insured mempunyai hak dan tanggungjawab tertentu. Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa ketika polisi masih berkuatkuasa atau belum mencapai tarikh matang, insurer tidak berhak membatalkan atau menjadikan kontrak tidak sah, kecuali disebabkan ketiadaan bayaran premium atau polisi tersebut dipertikaikan disebabkan penyembunyian fakta matan, dan pemegang polisi tiada obligasi untuk meneruskan pembayaran premium. Ini adalah kesan dari prinsip kontrak secara sehala.
Untuk insurans hayat, risiko kemortalan akan meningkat mengikut umur dan juga tempoh kontrak. Dalam insurans am, risiko yang diinsuranskan mungkin tidak meningkat mengikut masa, malah ia mungkin menurun disebabkan langkah-langkah keselamatan yang diambil oleh insured (seperti pemasangan sistem perenjis air dan sebagainya)
No comments:
Post a Comment